Menurut Kok Choong, kerjasama itu terjalin berdasarkan hubungan baik dalam bidang perniagaan yang akhirnya memberi manfaat kepada rakyat Sabah.
Tidak seperti negara matahari terbit itu yang sering dilanda musibah bencana alam termasuk puting beliung, gempa bumi dan tsunami yang menekankan penggunaan tenaga solar sebagai kegunaan penting bagi kelangsungan rakyat Jepun, rakyat Malaysia juga boleh beralih kepada penggunaan tenaga solar dalam kehidupan seharian.
Bagaimanapun, volume penggunaan tenaga solat dalam negara kita masih agak kecil tetapi untuk tempoh 10 tahun akan datang, kata Kok Choong, Malaysia juga boleh mengaplikasikan penggunaan tenaga solar dalam pelbagai cara.
"Kita tahu bahawa Jepun bukan sahaja mempunyai kepakaran dalam bidang teknologi tetap mereka juga bagus dalam melahirkan tenaga mahir.
"Oleh itu, AGAPE memilih untuk bekerjasama dengan Jepun bagi meningkatkan penggunaan tenaga solar dari 50 megawatt kepada 500 megawatt untuk tempoh 10 tahun ke hadapan," katanya.
Beliau yakin, dengan kerjasama penghasilan tenaga solar, sekurang-kurangnya 1,500 peluang pekerjaan dapat dicipta untuk penduduk tempatan.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan wartawan Utusan Online usai Majlis Pelancaran Trim at "Road To New York City (NYC): The Grand Reveal" di sini, baru-baru ini.
Terdahulu, AGAPE menandatangani perjanjian persefahaman bersama (MoU) VSUN (solar) selain daripada memeterai MoU yang melibatkan AGAPE Superior Living (Kesihatan), AGAPE ATP yang menumpukan kepada khidmat nasihat kesihatan, Phoenix Plus (hartanah) dan Qu Exchange (pertukaran perkongsian SME).
Pemeterian persefahaman turut membabitkan anak syarikat Kumpulan Utusan Melayu (M) Bhd., Media House Entertainment (media) selain perjanjian bersama Abalance (tenaga hijau, IT dan pembinaan dari Jepun), Innovative Ideals and Services yang membekalkan peralatan keselamatan dari India dan Carter Lim Chee Sen (rakan perniagaan AGAPE dari Thailand).
Kemuncak majlis, Kok Choong melancarkan produk terbaharunya, Trim dengan tagline Go Kurus bagi mengubah cara pengurusan diet dan berat badan (obesiti) rakyat Malaysia yang kurang gemar bersukan.
Produk Trim ini adalah minuman kesihatan penghilang kemanisan dan boleh dibeli secara dalam talian, di kedai dan cawangan serta stokis AGAPE di seluruh negara.
Kok Choong juga memberitahu, AGAPE yang mempunyai pelbagai rangkaian perniagaan termasuk dalam bidang hartanah di luar negara, kini melangkah ke satu lagi bidang baharu apabila bertindak membeli Red Boy TV.
"Saya yakin bidang perfileman perlu diterokai kerana filem yang bakal dihasilkan mampu menembusi pasaran luar negara.
"Biarlah budak kampung yang jadi hero atau filem star kerana sebagai rakyat Malaysia, saya mahu lebih ramai lagi rakyat Malaysia berjaya sebagai pelakon. Takkanlah kita hanya ada seorang sahaja Michele Yeoh," katanya.
- UTUSAN ONLINE https://bit.ly/2JpqaZA
